Monday, October 17, 2011

BENGKEL ANTARABANGSA PERISIAN FIELDWORKS 2011 @ UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

Friday, July 29, 2011

Lagi berita BBS di New Straits Times..
http://www.nst.com.my/arti​cles/26somp/Article

Wednesday, July 6, 2011

"BENGKEL SOMPOTON " NEW STRAITS TIMES
Baru-baru ini, Kadazan Dusun Language and Cultural Centre (KDLC) telah menganjurkan Bengkel Bermain Sompoton yang pertama kali di Malaysia, bertemakan “Muzik Kita, Kebanggaan Kita”,bertempat di Kasih Sayang Resort, Menggatal selama 3 hari 2 malam ( 1-3hb,7.2011). Seramai 11 peserta yang telah mengikuti bengkel tersebut datang dari pelbagai daerah di Sabah iaitu dari Keningau, Ranau, Tambunan, Tamparuli, Tuaran, Tawau, dan seorang peserta berketurunan Cina berasal dari Pulau Pinang.
Bengkel itu merupakan projek ke-2 KDLC ( Tuisyen Bahasa Kadazan Dusun untuk PMR dan SPM telah dimulakan sejak 2 bulan lalu ) dalam tempoh 3 bulan pertama penubuhan dan juga julung-julung kali diadakan seumpamanya di Sabah.

Dr Rosalyn Gelunu selaku Penasihat KDLC menyatakan bahawa KDLC merupakan medan atau ruang yang disediakan untuk melatih, membimbing para graduan mengasah potensi kendiri, membentuk keperibadian dan menanam kepimpinan dan memupuk jati diri sebagai generasi intelektual muda Kadazan Dusun. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperoleh dari universiti para graduan ( kini seramai 6 orang graduan dalam KDLC) didedahkan pula dengan kemahiran mengurus dan mengelola program, menyelidik ‘field work’ dan mendokumentasikan bahasa dan budaya KDM. Para graduan dilibatkan sepenuhnya dalam pengurusan dan pentadbiran KDLC sebagai usaha untuk melahirkan lebih ramai graduan yang mampu berdikari, berkepimpinan, bersemangat dan ikhlas dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa dan budaya Kadazan Dusun.

Dalam bengkel itu, penyertaan telah dibuka kepada semua lapisan masyarakat di Sabah, khususnya yang tinggal di sekitar Kota Kinabalu. Bengkel Bermain Sompoton dipilih atas beberapa kekuatan antaranya, ada tenaga pengajar/penceramah berpengalaman, alat muzik Sompoton sudah diperoleh dan juga muzik Sompoton itu sendiri agak popular dalam kalangan peminat muzik klasik pelbagai bangsa dan keturunan. Oleh itu KDLC mengambil inisiatif untuk menggunakan ruang tersebut demi mengetengahkan muzik Sompoton sebagai wahana perpaduan merentas budaya sesuai dengan gagasan 1 Malaysia sekaligus memartabatkan seni muzik tradisional masyarakat Kadazan Dusun disamping sebagai usaha pelestarian budaya tradisi.

Tujuan utama penganjuran bengkel itu ialah untuk memperkenalkan muzik klasik Sompoton kepada masyarakat umum dari pelbagai bangsa serta untuk menonjolkan keunikan seni muzik tradisional Kadazan Dusun. Selain itu, ia juga dapat menyebarluaskan bahasa dan budaya KadazanDusun melalui alat muzik (Sompoton).

Motto KDLC "Zero to Hero", ternyata membuahkan hasil kerana semua peserta bengkel di bawah tunjuk ajar pakar Sompoton dan juga jurulatih berpengalaman dari Kg.Tikolod Tambunan (En.Juie Maikon) bukan sahaja berjaya menguasai teknik asas meniup alat muzik Sompoton malah dapat memainkan 2 hingga 3 buah lagu menggunakan Sompoton. Ini merupakan hasil yang sangat menakjubkan apatah lagi mereka adalah orang baru atau ‘buta’ muzik Sompoton pada mulanya.

Seorang daripada peserta bengkel tersebut bernama Leong Kok Peng berasal dari Pulau Pinang berkata sangat bertuah kerana dapat menyertai bengkel itu dan mengakui bahawa kaedah pengajaran yang berfokuskan peserta amat berkesan sehingga semua peserta dapat menguasai teknik asas bermain Sompoton. “Saya bangga untuk memperdengarkan lagu gubahan saya sendiri menggunakan muzik Sompoton kepada ahli keluarga dan kawan-kawan di Pulau Pinang” kata Leong. “ Saya juga berkesempatan mengenali bahasa dan budaya masyarakat Kadazan Dusun dari kawan-kawan peserta berbangsa Kadazan Dusun sepanjang berbengkel” tambah Leong lagi.

Pihak KDLC ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para peserta dan tenaga pengajar atas kerjasama dan komitmen sepanjang bengkel. Namun, bengkel bermain Sompoton yang julung-julung kali diadakan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan dan sumbangan dana dari rakan-rakan, saudara-mara ( di Tambunan) serta Mr&Mrs Rajendra Kulasegaran dari Kuala Lumpur yang merupakan penyumbang utama.

KDLC merancang untuk mengadakan Bengkel Bermain Sompoton Siri 2 pada bulan Oktober tahun ini dan daerah Tambunan telah dipilih sebagai lokasi bengkel. Apa yang jelas, KDLC mahu memperjuangkan apa yang patut dipertahankan dan diperkembangkan oleh masyarakat Kadazan Dusun khususnya dalam kalangan generasi muda. KDLC juga akan mengadakan pelbagai bengkel lagi seperti Bengkel Masakan Tradisional, Kraftangan Tradisional, Tarian Tradisional, Sastera Tradisional, Bengkel Unduk Ngadau, dan Bengkel Penulisan pada masa akan datang, pihak mereka sudah membuka penyertaan kepada sesiapa yang berminat, untuk mengetahui program terkini KDLC boleh didapati dengan melawat kdlcborneo.blogspot.com atau menghubungi email kdlcborneo@gmail.com
“Dari Kita, Oleh Kita, Untuk Kita, Kebanggaan kita”
__________________________________________________________________________________

Berikut adalah maklum balas daripada beberapa peserta bengkel:

Elvin Dainal,24,Ranau:
"Awesome! Good and teruskan lagi.. Saya mau ikut lagi next event. Dalam bengkel ni, Saya dapat belajar main sompoton sampai dapat main 2-3 lagu..haha... lama suda saya mau belajar ni..:D"

Pilah Kisang,60, Tuaran:
"Sangat baik dan sambutan baik walaupun hanya pertama kali dianjurkan. Saya akhirnya mendapat ASAS membunyikan alat muzik tradisi kaum Dusun"

Leong Kok Peng,26, Pulau Pinang:
"Bagus sekali, walaupun hanya dalam bilangan yang sedikit tetapi ia dapat lebih menumpu pada setiap peserta dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Selain daripada dapat mempelajari cara bermain sompoton, ia juga mendedahkan saya kepada Bahasa dan Budaya bagi etnik KadazanDusun di Sabah..juga makanan Tua hao(tuhau)"

Erwin Soimih,25,Tamparuli:
"Sangat Berbangga tidak dapat diggambarkan perasaan ini. Ucapan tahniah atas segala yang telah diusahakan lebih-lebih lagi kepada pengerusi penganjur En.Aerry.TAHNIAH! Daripada 'ZERO' kepada 'sampin'(champion).Ilmu itu sangat berharga bagi saya. Ilmu itu tidak dapat dijual beli dan amat unik bagi diriku. Semoga aku mendapat peluang seumpama ini di masa akan datang"

Ree John Daulip,25, Tamparuli:
"Sangat membanggakan kerana buat julung-julung kalinya bengkel Sompoton dianjurkan untuk mengekalkan dan memelihara seni dan budaya ini. Saya dapat mempelajari asas dalam bermain sompoton, meniup dan memainkan lagu dan menggubah muzik lagu menggunakan sompoton"

Raini Raimin,25, Keningau:
Tahniah KDLC terutama sekali kepada pengerusi penganjur. Teruskan usaha untuk memantapkan bengkel ini. Melalui bengkel ini, saya bukan setakat tahu apa itu sompoton tetapi boleh memainkan lebih dari sebuah lagu. Memang saya berminat mempelajari ilmu sompoton kerana saya ingin mencontohi datuk saya yang juga pakar sompoton suatu ketika dahulu"

__________________________________________________________________________

Kadazandusun Language & Cultural Centre akan menganjurkan program ini di beberapa buah daerah lagi dalam masa terdekat seawal bulan Oktober 2011.
Apa yang jelas, KDLC sedang memperjuangkan apa yang patut dipertahankan oleh masyarakat KD pada masa kini dan Bengkel Bermain Sompoton ini adalah program rintis kami ke arah perjuangan warisan seni muzik KD yang lain selaras dengan slogan "Muzik kita, Kebanggaan kita!".